Kuala Lumpur, 16 November 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 30 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.
Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, CP Dato' Seri Hazani Ghazali dalam kenyataan berkata, ia melibatkan lima kertas siasatan di Perak, Kelantan (4), Negeri Sembilan (4), Selangor (3), Pahang (3), Sarawak (3), Kedah (3), Kuala
Lumpur (2) manakala Terengganu, Sabah dan Melaka, masing-masing satu.
Beliau berkata antara kesalahan yang disiasat adalah berkaitan perbuatan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik.
Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427, 436, 505(b) Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
CP Dato' Sri Hazani berkata tujuh individu ditahan semalam termasuk dua masing-masing di Sarawak dan Kelantan.