Putrajaya, 19 November 2022 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meluangkan masa memantau penugasan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping memberi sokongan moral kepada mereka yang komited bertugas di beberapa tempat mengundi di sini dan Negeri Sembilan serta Selangor seawal jam 5.00 pagi tadi.
Dengan keadaan cuaca di beberapa buah tempat dan
kawasan yang hujan serta panas, kehadiran Tan Sri Razarudin sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada warga PDRM untuk bertugas di pusat pembuangan undi di situ.
Beberapa buah pusat mengundi telah dilawati oleh beliau, antaranya Sekolah Kebangsaan (S.K) Ampang Tinggi di Kuala Pilah, Sekolah Jenis Kebangsaan (S.J.K) (Cina) Sin Hua dekat Seremban dan S.K Taman Semarak serta S.J.K (Cina) Putra di Nilai.
Selain empat pusat mengundi itu, Tan Sri Razarudin juga berkesempatan meninjau S.K Salak dekat Sepang diikuti Sekolah Rendah Agama Al-Najah di Presint 9, di sini.
Hadir sama mengiringi beliau tadi ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, Ketua Urus Setia KPN (Pasukan Khas Siasatan Bersepadu), Bukit Aman, SAC Md Nazri Zawawi, Ketua Polis Daerah (KPD) Seremban, ACP Nanda Ma’arof, KPD Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dan KPD Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim.