Kuala Lumpur, 9 November 2023 - Bersempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216,
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman pagi tadi menganjurkan Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali ke-15 dengan menghimpunkan lebih 300 pegawai awam dari semua kontinjen dan formasi seluruh Malaysia di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim,
Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala
Lumpur, di sini.
Program saban tahun diadakan itu sejajar dengan Fokus Utama Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain di dalam sub fokus pertama beliau, 'Perkhidmatan PDRM Bertunjangkan Integriti dan Tata Kelola Yang Baik' bagi mendokong jalinan kerjasama utuh di antara kedua-dua tenaga kerja untuk mengekalkan keharmonian organisasi bagi menyampaikan mutu perkhidmatan yang cemerlang.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Razarudin menzahirkan penghargaan kepada JSJ yang dipimpin pengarahnya, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur serta Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) atas kerjasama erat bagi merealisasikan perhimpunan kali ini.
Ujar beliau, jalinan yang utuh serta kesepakatan jitu sebagai keluarga besar PDRM di antara warga beruniform dan pegawai awam selama ini menjadi nadi pendorong faktor kelancaran tadbir urus Pasukan.
"Saya ingin menzahirkan penghargaan terima kasih kepada seluruh Pegawai Awam PDRM yang setia menjadi tulang belakang kepada Pasukan dan menyumbang kepada kejayaan Pasukan secara keseluruhannya," ucapnya lagi.
Tambahnya, Pegawai Awam PDRM banyak membantu melancarkan urusan pentadbiran PDRM di setiap kontinjen, briged dan formasi. Umpama sebuah kereta, setiap komponen memainkan peranan dan fungsi masing-masing bagi menggerakkan kenderaan tersebut. Begitu juga dengan pegawai awam PDRM yang membantu dalam hal ehwal operasi dan pentadbiran Pasukan.
"Pucuk pimpinan tertinggi PDRM tidak akan sesekali meminggirkan kebajikan pegawai awam. Bahkan PDRM sentiasa mengambil cakna akan setiap isu yang diutarakan oleh PACSU dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik bagi setiap permasalahan yang dibangkitkan." katanya.
Dalam perhimpunan tadi juga, Tan Sri Razarudin berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 100 pegawai awam PDRM yang telah mempamerkan mutu kerja cemerlang selama ini.
Hadir sama, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato’ Dr. Hj. Adnan Mat, barisan Ketua Polis negeri, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Muhammad Idzam Dato’ Hj. Jaafar, Presiden PACSU, Encik Anuar Mamat, Presiden Kesatuan Kakitangan Pegawai Awam Polis Sarawak (SPOCSU), Encik Sudarmazi Joli, Presiden Kesatuan Kakitangan Tadbir dan Awam Polis Sabah (SPACSU), Encik Mohd Syukri Tahir, ahli-ahli EXCO PACSU, para pegawai kanan dan anggota PDRM serta para perwakilan dari seluruh kontinjen.
Jurugambar : Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.