Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 2024 MASIHI / 1445 HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia Madani dan Salam Aidilfitri.

Alhamdulillah, bersempena dengan ketibaan Syawal tidak lama lagi, marilah kita merafakkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita dianugerahkan peluang meraikan hari kemenangan umat Islam setelah berlabuhnya tirai Ramadan Al-Mubarak dengan berjaya menunaikan Rukun Islam ketiga.

Kejayaan kita melewati Ramadan bukan sahaja kemenangan melawan hawa nafsu, menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata, tetapi juga sebagai tanda kejayaan umat Islam kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah yang bertakwa.

Kepada warga PDRM yang bertugas semasa musim perayaan ini, teruskanlah perjuangan demi keamanan dan kesejahteraan Malaysia Madani yang kita cintai ini. Sesungguhnya segala khidmat bakti yang dicurahkan pastinya memberi imbalan yang terbaik dari Allah SWT di akhirat kelak. Insya-Allah.

Tidak putus doa dan harapan jua, buat saudara kita yang berada di Palestin. Mereka ini dihimpit dan dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, serta cengkaman oleh musuh Islam. Semoga Allah SWT sentiasa memberi pertolongan dan kemenangan kepada mereka di hari kemenangan kita.

Akhirul kalam, saya dan isteri mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin” kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia, amnya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Walillahil hamd.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS