Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

KENAIKAN PANGKAT BUAT LIMA WIRA BALAI POLIS ULU TIRAM TANDA PENGHARGAAN DAN PENGANUGERAHAN KERAJAAN SERTA PASUKAN

 
Kuala Lumpur, 14 Jun 2024 – Pengorbanan lima wira negara yang terlibat dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor pada 17 Mei lalu mendapat perhatian Kerajaan dan Pasukan dengan menganugerahkan Kenaikan Pangkat Secara Medan dan Kenaikan Pangkat Secara 'Posthumous' kepada mereka hari ini.

Dalam suasana yang penuh hiba itu, Kenaikan Pangkat Secara Medan telah disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada Sarjan Mohd Hasif Roslan, Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dan Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa. Manakala Kenaikan Pangkat Secara ‘Posthumous’ kepada Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Koperal Muhammad Syafiq Ahmad Said yang diwakili oleh ahli keluarga masing-masing di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL),
Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menyampaikan faedah terbitan yang meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, gantian cuti rehat, Ex-Gratia Kematian dan Ex-Gratia Terbitan serta pampasan insuran koperasi polis kepada waris yang hadir.

Berucap dalam majlis yang diadakan, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim yang mewakili Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain berkata insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram adalah amat tragis dan menjadi peristiwa hitam dalam lipatan sejarah negara dan Pasukan. Ia memperlihatkan ketaatsetiaan dan pengorbanan warga Sang Saka Biru dalam mempertahankan keselamatan negara.

"Insiden ini juga membuktikan bahawa ancaman keselamatan negara boleh berlaku pada bila-bila masa sekali pun. Semua pihak termasuk masyarakat umum harus sentiasa membuka mata dan berwaspada dengan persekitaran bagi mengekang berulangnya insiden seumpama ini”.

“Dalam masa yang sama, warga PDRM perlu sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan ancaman jenayah yang berlaku khususnya ke atas premis-premis kerajaan, tempat berkepentingan serta tumpuan umum," kata beliau lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution telah menzahirkan takziah buat waris keluarga dan mendoakan semoga mereka tabah dengan ujian yang dihadapi mereka. Beliau turut memuji sikap berani dan semangat juang luar biasa kesemua anggota yang terlibat kerana berjaya mengendali situasi ketika insiden berlaku.

Seusai itu, turut berlangsung Program Penerapan Nilai-Nilai Murni MDN bersama PDRM iaitu penyerahan sumbangan 13 ekor lembu ibadah korban oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution kepada lima wakil penerima yang terdiri daripada warga PDRM iaitu Unit Tindakhas, Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, Semenyih, PULAPOL Kuala Lumpur dan Perumahan Penduduk Kelompok Kenanga, Kuala Lumpur di Arena Memanah PULAPOL.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan Pengarah, Ketua Polis Johor, CP M. Kumar S. Muthuvelu, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, Komandan PULAPOL, SAC Muhammad Idzam Dato' Hj. Jaafar, Pengerusi Koperasi PDRM, Dato’ Hj. Hasanuddin Hj. Hassan dan para pegawai kanan PDRM.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryan Mustin.

May be an image of 15 people and text

May be an image of 3 people, dais and text

May be an image of 3 people, dais and text

May be an image of 3 people, dais and text

May be an image of 3 people, dais and text

May be an image of 5 people, headscarf, dais and text

May be an image of 6 people, dais and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS