Kuala Lumpur, 5 September 2024 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meraikan dan seterusnya menyampaikan Surat Penghargaan Khas kepada 77 rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menjayakan Karnival Pencegahan Jenayah dan Larian Hari Polis “Community Safety Run” pada tahun ini, dalam sebuah majlis apresiasi di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim,
Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.
Kedua-kedua program berskala besar anjuran
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) itu bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya mencegah jenayah secara holistik ke arah pengwujudan komuniti sejahtera, malah turut mendapat kerjasama serta penyertaan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti masyarakat, para mahasiswa serta ahli masyarakat.
“Majlis ini bagi menghargai jasa dan sumbangan rakan strategik PDRM serta barisan ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan kedua-dua program tersebut. Kejayaan yang dicapai tidak akan datang bergolek tanpa perancangan yang rapi, kesepakatan dan usaha gigih daripada semua pihak yang terlibat,” ucap Tan Sri Razarudin dalam majlis tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah JPJKK, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur atas kepimpinan tinggi mengetuai program-program tersebut dengan cemerlang.
Dalam Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bersama Rakan Strategik Dengan Komuniti Setempat Tahun 2024 yang diadakan di Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras pada 27 April lalu, ia telah menarik kehadiran lebih 10,000 penduduk setempat dengan pengisian aktiviti seperti solat Subuh berjemaah, jamuan makan berkonsepkan ‘rewang’, ceramah pencegahan jenayah dan “townhall discussion”, acara sukan serta cabutan bertuah.
Manakala Larian Hari Polis “Community Safety Run” sempena sambutan peringatan Hari Polis Ke-217 di Dataran Putrajaya pada 6 Julai lalu, ternyata menjadi ‘buah mulut’ dengan penglibatan seramai 10,002 peserta dalam kalangan warga PDRM dan orang awam dari seluruh pelosok negara menyertai acara larian sejauh tujuh kilometer dan ganjaran 217 hadiah cabutan bertuah telah menjadi rebutan ramai.
Tan Sri Razarudin juga berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan lagi di masa hadapan sejajar dengan moto PDRM, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
“Saya sekali lagi menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada badan-badan korporat dan syarikat persendirian yang menjadi rakan strategik PDRM, atas sokongan dan tajaan berterusan bagi membolehkan kedua-dua program ini direalisasikan dengan jayanya,” ujar beliau sebelum mengakhiri ucapan.