Kota Bharu, 29 Oktober 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menjadi saksi dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis (KP) Kelantan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kelantan bertempat di Dewan Dato’ Dr. Ab Rahman, Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK)
Kelantan, di sini, pagi tadi.
Dato' Sri Ayob Khan yang tiba bersama isteri
merangkap Naib Pengerusi
PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin pada 9.15 pagi tadi telah disambut oleh Dato' Hj. Mohd Yusoff Mamat diringi Pemangku KP Kelantan, DCP Mohd Ali Tamby sebelum dibawa menandatangani buku melawat.
Tertib majlis tadi dimulakan dengan upacara pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Dato' Hj. Mohd Yusoff yang disempurnakan oleh Dato' Sri Ayob Khan sebelum disusuli dengan acara menandatangani nota serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa KP Kelantan di antara Dato' Hj. Mohd Yusoff dengan DCP Mohd Ali.
Dato' Hj. Mohd Yusoff yang dilahirkan pada 9 Julai 1968 merupakan anak jati Kota Bharu dan telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir 33 tahun. Figura yang sinonim dengan
Pasukan Polis Marin itu merupakan lepasan graduan Sarjana Sains Kepolisan dari
Universiti Kebangsaan Malaysia dan beliau telah diberi mandat dari Pucuk Pimpinan Pasukan untuk menerajui Polis Kontinjen Kelantan sebagai KP yang ke-28.
Turut berlangsung dalam majlis sama adalah penyerahan nota serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP Kontinjen Kelantan di antara Puan Norainon Hj. Ramli kepada pengerusi baharu, Datin Hjh. Hasnizan Hasan sambil disaksikan Datin Sri Dato' Zalena.
Hadir sama, barisan Ketua Jabatan IPK Kelantan, barisan Ketua Polis Daerah dan pegawai kanan PDRM serta rakan-rakan media.