Putrajaya, 4 Disember 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay petang tadi memenuhi undangan ke Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani kepada mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim telah berbesar hati mengumumkan bahawa pihak Kerajaan berjaya mengumpulkan dana RM35.8 juta yang disumbangkan oleh 23 syarikat swasta dan badan korporat.
Menurut beliau, dana tersebut akan disasarkan khusus untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas akibat bencana alam tersebut.
Dato' Seri Anwar turut menegaskan bahawa kesemua dana yang berjaya dikumpulkan itu akan diselaraskan pengagihannya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri ke pusat-pusat pemindahan sementara.
Ia bertujuan memastikan bantuan dapat sampai terus kepada mereka yang memerlukan dengan kadar yang cepat dan efisien.
Majlis tersebut menjadi bukti keprihatinan dan semangat kebersamaan yang dipegang teguh oleh pihak Kerajaan, bertepatan dengan konsep MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan kepada semua.