Cyberjaya, 9 Disember 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis
Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman hari ini hadir memeriahkan Majlis Konvokesyen Universiti
Multimedia (MMU) ke-25 yang diadakan di Dewan Tun Canselor MMU, di sini.
Ketibaan Tan Sri Razarudin dan Puan Sri Datuk Zainah sekitar jam 8.00 pagi tadi disambut oleh Presiden MMU,
Profesor Dato' Dr. Mazliham Mohd Su'ud.
Majlis telah dimulakan dengan perasmian pembukaan oleh Pro-Canselor MMU, Academician Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid sebelum penyampaian sijil kepada 820 para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Dr. Zakri mengingatkan para graduan agar bersedia untuk menghadapi dunia di luar kampus yang lebih mencabar dan mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan serta pengalaman sepanjang mengikuti pengajian di universiti berkenaan apabila memperoleh kerjaya masing-masing kelak.
Turut diraikan tadi ialah anak bongsu kepada Tan Sri Razarudin dan Puan Sri Datuk Zainah iaitu Amirrul Haqim yang menerima Diploma Teknologi Maklumat selepas berjaya menamatkan pengajian beliau selepas tiga tahun tempoh pengajian.
Hadir sama, barisan Ahli Pengurusan dan Ahli Senat MMU serta para ibu bapa para graduan.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryanlie Mustin