Kuala Lumpur, 10 Disember 2024 - Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Magfurlah berkenan melancarkan buku “Coffee Table” Polis Diraja Malaysia (PDRM) - Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan Dalam Dalam Mengekalkan Keamanan Negara di Hotel Mandarin Oriental, di sini.
Mengiringi baginda ke majlis yang dianjurkan
Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) tadi ialah Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar.
Buku yang diterbitkan oleh
Universiti Putra Malaysia (UPM) setebal 202 muka surat itu memuatkan pengkisahan sejarah, kejayaan yang dicapai, cabaran dan halangan dihadapi oleh warga Pasukan serta hala tuju PDRM di masa hadapan dalam menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin keharmonian rakyat dalam negaranya.
Selain itu, buku tersebut juga dapat memberi manfaat besar kepada pembacanya untuk lebih menghargai erti pengorbanan yang telah dicurahkan oleh PDRM kepada nusa dan bangsanya sejak lebih dua abad lalu.
Buku “Coffee Table” PDRM yang dikarang oleh Profesor Dr. Mohamad Thariq Hameed Sultan dan Encik Shafie Abdul Rahman itu akan mula diedar kepada jabatan-jabatan kerajaan dan institusi-institusi pendidikan di seluruh negara bagi tujuan memupuk semangat membaca di kalangan rakyat Malaysia pelbagai lapisan umur, khasnya generasi muda.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Nazrin atas limpah perkenan baginda bercemar duli hadir ke majlis yang penuh bersejarah buat PDRM serta berharap dengan adanya buku "coffee table" PDRM itu, ianya dapat menjadi sumber rujukan tepat tentang Pasukan keselamatan yang begitu dekat di hati masyarakat dalam negara ini.
“Inisiatif penghasilan buku ini akan menjadi sumber rujukan menyebarkan informasi berguna serta menginspirasi masyarakat untuk peka dan meningkatkan semangat patriotisme cintakan tanah air”, ucap beliau.
Turut berlangsung dalam majlis tadi ialah penyampaian Anugerah Khas Buku Negara mengikut kategori masing-masing kepada tujuh penerima sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan mereka dalam industri penerbitan buku di Malaysia.
Tujuh penerima anugerah khas tadi merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama
Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi kategori Kepimpinan,
Kementerian Pendidikan Malaysia (kategori penggerak utama aktiviti galakan masyarakat membaca), Ketua Setiausaha (KSU)
Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (kategori buku Islamik terbaik) dan Naib Canselor
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Datuk Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin bagi kategori buku sains dan teknologi terbaik.
Manakala Bank
CIMB Berhad pula dinobatkan penerima bagi kategori tanggungjawab sosial korporat terbaik,
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (buku mewah terbaik) dan UTEM sendiri dipilih penerima untuk kategori penerbit prolifik (universiti) pada tahun ini.
Seusai majlis tadi, Sultan Nazrin berkenan mengunjungi ke tapak pameran buku yang telah disediakan di perkarangan lobi hotel dengan diiringi oleh Tan Sri Razarudin.
Turut hadir, KSU Kementerian Pendidikan, Datuk Hj. Rudi Hj. Ubi, KSU
Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Wira Azuan Effendy Zairakithnaini, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Kamoo dan barisan Pengarah PDRM.
Hadir sama, barisan Ketua Polis Negeri, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.