Kota Bharu, 10 Disember 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay meneruskan lawatan kerja rasminya pada hari kedua di Balai Polis Ketereh, di sini, semalam.
Ketibaan Dato' Sri Ayob Khan kira-kira jam 9.15 pagi telah disambut Ketua Polis Balai Ketereh, Sarjan Mejar Mohd Aizirul Azahari sebelum dibawa meninjau kawasan sekitar balai dan berek yang terjejas akibat banjir.
Turut hadir, Ketua Polis (KP) Kelantan, CP Dato' Hj. Mohd Yusoff Mamat bersama timbalannya, DCP Mohd Ali Tamby.
Dato' Sri Ayob Khan turut berpeluang menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada anggota balai yang mana kawasan kediaman dan kelengkapan rumah mereka telah rosak akibat kesan lumpur.
Lawatan Dato' Sri Ayob Khan diteruskan ke Taman Seri Bayu, Tumpat, bagi mendekati dan melihat sendiri keadaan rumah pegawai dan anggota yang ditimpa musibah. Beliau turut menyampaikan sumbangan keperluan kepada pegawai dan anggota yang menetap di kawasan tersebut.
Seramai 88 mangsa banjir yang terdiri daripada pegawai dan anggota turut melaksanakan program gotong-royong pembersihan dengan dibantu agensi luar iaitu SMART Team serta Pasukan
Bomba & Penyelamat Malaysia.
Dato' Sri Ayob Khan turut berkesempatan menyantuni sebuah keluarga yang mana rumahnya telah runtuh akibat bencana alam itu.
Pada sebelah petang pula, Dato' Sri Ayob Khan dibawa ke
Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara untuk mendengar taklimat ringkas berkenaan kawalan dan pemantauan yang dijalankan ketika banjir di Bilik Gerakan Disaster Response Team yang disampaikan oleh Pegawai Persenjataan Batalion 8 PGA, Insp Nazirul Zahin Rosazman.
Seterusnya, Dato' Sri Ayob Khan tiba di
Batalion 9 PGA Kubang Badak, Kuala Terengganu dan disambut oleh KP Terengganu, DCP Dato' Mohd Khairi Khairudin dan Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, DSP Aswadi Seman.
Hadir sama dalam siri lawatan tersebut ialah barisan Ketua Jabatan
Kontinjen Kelantan, Ketua Polis Daerah (KPD)
Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud, KPD
Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie, Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, ACP Nasri Mansor, Ketua Cawangan Khas Kontinjen
Terengganu, ACP Abd Ghafar Ibrahim dan KPD
Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor.