Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

#OPBANJIR DATO’ SRI AYOB KHAN ZIARAH KELUARGA ANGGOTA POLIS MENINGGAL DUNIA AKIBAT LEMAS BANJIR DI TERENGGANU

Dungun, 11 Disember 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menziarahi keluarga Allahyarham Koperal Sokongan Wan Muhammad Firdaus Wan Nasir yang menjadi mangsa korban banjir di Terengganu pada awal Disember lalu.

Dato’ Sri Ayob Khan mengambil masa kira-kira satu jam, pagi semalam membuat lawatan kebajikan ke atas isteri dan anak mangsa di kediaman mereka dekat Felda Kerteh 3, di sini.

Allahyarham Koperal Sokongan Wan Muhammad Firdaus, 36 tahun, bertugas di Pusat Latihan Polis Dungun dilaporkan hanyut dibawa arus deras banjir ketika sedang menaiki motorsikal dekat ladang sawit berdekatan rumahnya kira-kira jam 2.15 petang pada 29 November lalu, sebelum mayatnya dijumpai dua hari kemudian.

Dato’ Sri Ayob Khan yang dalam lawatan kerja ke Negeri Pantai Timur tiba ke Kontinjen Terengganu pada Isnin lalu, setelah melawat dan menyantuni warga Pasukan yang terjejas akibat banjir di Kontinjen Kelantan sejak Ahad lalu.

Seusai membuat ziarah dan menyampaikan sumbangan kebajikan tadi, Dato’ Sri Ayob Khan meneruskan lawatan kerjanya dengan meninjau keadaan Balai Polis Jengai yang turut terjejas akibat banjir.

Beliau mengambil kesempatan dengan menyantuni warga Pasukan yang bertugas di balai tersebut disamping menyampaikan sumbangan kebajikan kepada keluarga anggota balai yang terkesan akibat bencana alam itu.

Tertib lawatan kerja Dato’ Sri Ayob Khan kemudiannya diteruskan dengan melawat kawasan banjir dekat kawasan perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong di Chukai sebelum menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Abd Rahman Limbong, Kemaman, Terengganu.

Selain bertanya khabar dengan penduduk yang terlibat dalam bencana alam itu, Dato’ Sri Ayob Khan juga berpeluang menyampaikan sumbangan keperluan asas untuk meringankan beban yang ditanggung mereka.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Dato’ Wan Rukman Wan Hassan, Ketua Cawangan Khas Kontinjen Terengganu, ACP Abd Ghafar Ibrahim, Komandan Pusat Latihan Polis DUNGUN, Superitenden Nor Mohd Azahar Mat Zin, Ketua Polis Daerah (KPD) Dungun, Superitenden Maizura Abdul Kadir dan KPD Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan.

Jurugambar: PDRM RMP TV

May be an image of 6 people, dais and text

May be an image of 7 people and people smiling

May be an image of 10 people

May be an image of 6 people

May be an image of 6 people and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS