Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PDRM TERIMA DUA KEPIMPINAN TERTINGGI BAHARU, KPN YAKIN PASUKAN TERUS DIPACU LEBIH CEMERLANG

 
Kuala Lumpur, 16 Disember 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima dua kepimpinan tertinggi baharu iaitu Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA).

Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Pengurusan serta Jabatan KDNKA telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain di Mes Pegawai Kanan PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.

Dalam majlis berkenaan, bekas Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman, CP Dato' Abdul Aziz Abdul Majid telah disematkan lencana pangkat Pengarah PDRM oleh Tan Sri Razarudin diikuti sembilan Pegawai Kanan Polis lain yang dinaikkan pangkat baru-baru ini.

Majlis kemudiannya disusuli dengan acara serah terima tugas jawatan Pengarah Pengurusan di antara Dato’ Abdul Aziz dengan penyandang, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim sambil disaksikan oleh Tan Sri Razarudin.

Tertib majlis kemudiannya diteruskan dengan acara serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan KDNKA di antara Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Pasukan Gerakan Am) yang memangku tugas pengarah jawatan tersebut, DCP Dato' Mohd Suzrin Mohd Rodhi dengan Dato' Sri Azmi yang kini memegang gred Jawatan Utama A dalam Pasukan.

Seusai acara serah terima tugas jawatan kepimpinan tertinggi Pasukan, majlis kemudiannya diteruskan dengan acara serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan di antara penyandangnya, Datin Sri Sharifah Rodziah Syed Agil dengan penyandang baharu, Datin Selmiah Tuan Ibrahim dan Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA di antara pemangkunya, Datin Syamson Syuhaila Razali dengan Datin Sri Sharifah Rodziah.

Acara menandatangani dan penyerahan dokumen serah terima tugas pengerusi PERKEP kedua-dua Jabatan PDRM itu disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman.

Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua Pengarah baharu bersama pasangan masing-masing yang telah dilantik untuk mengemudi jabatan serta aktiviti keluarga dengan penuh amanah, jujur, ikhlas serta berintegriti. Beliau percaya kenaikan pangkat yang diberikan adalah berdasarkan merit serta prestasi cemerlang para pegawai kanan tersebut dalam Pasukan.

"Besar harapan saya agar Dato’ Sri dan Dato’-Dato’ akan dapat memacu gerak kerja jabatan dan pasukan ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang. Ibarat 'dibuang ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang, dicampak ke hutan menjadi gunung', ujar beliau.

Yang turut hadir, Pengarah Cawangan Khas, CP Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri selaku Pengerusi PERKEP Cawangan Khas, Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM bersama isteri, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.

Jurugambar: Koperal Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin

May be an image of 3 people and text

May be an image of 3 people and text

May be an image of 1 person, dais and text

May be an image of 10 people and text

May be an image of 8 people and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS