Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

PDRM SUDAH BERSEDIA SEPENUHNYA PENGANJURAN AISSE'25 DI PUTRAJAYA

Kuala Lumpur, 18 Disember 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia sepenuhnya penganjuran acara keselamatan dalaman paling penting di dunia, Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE'25) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, Januari depan.

Persidangan dan ekspo berprestij antarabangsa yang akan disertai oleh 300 syarikat dari 23 buah negara di seluruh dunia itu dianjurkan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. akan berlangsung dari jam 10.00 pagi sehingga 6.00 petang bermula 20 sehingga 22 Januari 2025.

Selain pameran, AISSE'25 turut menganjurkan perbincangan meja bulat, slot seminar serta forum keselamatan bagi pemain industri keselamatan dari seluruh dunia berkongsi idea dan pembentukan dasar yang kukuh untuk menangani isu cabaran keselamatan di peringkat global yang semakin kompleks.

Nyata berpuas hati dengan persediaan penganjuran AISSE'25, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain selaku Pengerusi bersama penganjuran persidangan tersebut turut menyeru seluruh warga Pasukan untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab jitu bagi memastikan kelancarannya.

"Sebagai Pengerusi bersama dengan Ketua Setiausaha KDN, saya menyeru kita semua mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan penganjuran AISSE’25 berjalan lancar sebagaimana dirancang.

"Saya percaya dengan dedikasi serta kebijaksanaan Dato’ Sri, Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan, program ini pasti memberi impak keberhasilan yang berkualiti, seterusnya melakar kejayaan yang menjadi kebanggaan PDRM dan negara", ujar beliau sewaktu berucap dalam Taklimat AISSE'25 di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, pagi tadi.

Terdahulu, sebelum ke sesi taklimat yang diadakan, Tan Sri Razarudin sempat meninjau Program Derma Darah yang dianjurkan oleh Cawangan Kebajikan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman bersama Pusat Perubatan Universiti Malaysia di lobi Menara 1 Bukit Aman.

Program tahunan tersebut turut disertai hampir 200 warga kerja di peringkat Bukit Aman.

Yang turut hadir, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Koperasi PDRM, Dato’ Nerita Yaacob, Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd., Puan Anita Jacobson, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah dan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin.

Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery

May be an image of 2 people

May be an image of 2 people and dais

May be an image of 1 person, dais and text

May be an image of 11 people, dais and text

May be an image of 3 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS