Kuala Lumpur, 18 Disember 2024 - Penguatkuasaan kawalan sempadan secara bersepadu, peningkatan serbuan untuk mengekang aktiviti penyeludupan serta menahan penjenayah yang mengganggu khazanah alam negara antara faktor kejayaan yang menyumbang kepada pencapaian cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA) sepanjang tahun 2024.
Berucap dalam Perhimpunan Bulanan KPN Bulan Disember 2024 tadi, IG Tan Sri Razarudin Husain berkata Cawangan Perisikan Siasatan Khas/ Wildlife Crime Bureau (WCB) sahaja pada tahun ini telah berjaya menyelesaikan 136 kes dengan 387 orang tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM434 juta menerusi Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban, Op E-Waste dan banyak lagi.
"Selain itu, cawangan ini juga turut bekerjasama dengan 'National Resources Environment and Sustanability' (NRES) dan 'United Nation Development Programmed' yang bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hidupan liar serta pemuliharaan spesis haiwan ikonik khususnya Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, Banteng di Sabah dan Orang Utan di Sarawak", ujar beliau.
Tambah beliau lagi,
Pasukan Gerakan Am juga telah melakar pelbagai siri kejayaan yang membanggakan Pasukan dengan tangkapan dan rampasan berjumlah RM279 juta di seluruh negara diikuti
Pasukan Polis Marin yang berjaya menumpaskan 7,103 kes jenayah di perairan dengan nilai rampasan serta saman berjumlah RM210 juta.
Ia termasuklah pelbagai kesalahan yang melanggar undang-undang negara seperti aktiviti pembalakan tidak sah, penyeludupan barang kawalan, dadah, hidupan liar, mercun dan penggunaan bahan letupan dalam aktiviti perikanan.
Tan Sri Razarudin turut mengambil kesempatan tadi dengan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan KDNKA atas semua kejayaan yang telah dipamerkan sepanjang tahun dan menyeru kepada warga Pasukan untuk meningkatkan lagi momentum kecemerlangan bagi melindungi negara pada tahun hadapan.
Dalam perhimpunan tadi juga, seramai 73 warga Pasukan dari pelbagai jabatan dan formasi telah dianugerahkan Sijil Penghargaan daripada Tan Sri Razarudin atas komitmen tugas cemerlang yang telah mereka pamerkan sepanjang tahun.
“Penganugerahan ini harus menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada penerima serta warga Pasukan yang lain untuk keberkesanan tugas yang lebih cemerlang”, ujar beliau lagi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan KDNKA selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM serta warga kerja Bukit Aman.