Kajang, 13 Januari 2025 - Sejurus selesai menghadiri mesyuarat bersama Ketua-ketua Agensi Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain petang tadi meluangkan masa menziarahi sahabat beliau yang juga bekas Komander
Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), pesara SAC Abdul Ghani Mohamad Ji di kediamannya dekat Taman Saujana Suria, di sini.
Tan Sri Razarudin yang tiba kira-kira jam 3.00 petang tadi di rumah Tuan Abdul Ghani, 62 tahun, sempat menitipkan kata-kata semangat dan memberikan sokongan moral serta sumbangan kepada sahabat lamanya itu.
Tuan Abdul Ghani yang menghidap penyakit angin ahmar kira-kira lima tahun lalu kelihatan ceria dapat berjumpa "squadmate" beliau yang sama-sama menjalani Program Latihan Asas Kepolisan pada Disember 1982 lalu dan kini merupakan orang nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia.
Pesara polis itu merupakan figura yang tidak asing lagi dalam Pasukan kerana pernah menjawat beberapa jawatan penting yang melonjakkan nama beliau suatu ketika dahulu. Antaranya, Komander
Briged Tengah PGA, Ketua
Polis Daerah Cheras, Timbalan Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Perlis dan Ketua Bahagian
Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah
KULIM.
Di kesempatan ini, seluruh warga Pasukan turut mendoakan semoga Tuan Abdul Ghani dikurniakan semula keafiatan oleh Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan serta kebahagiaan bersama keluarga tercinta. Insya-Allah.