Kuala Lumpur, 16 Januari 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi penguat kuasa terulung negara terus komited dengan memperkasakan tahap kompetensi dan profesional sumber manusia ke arah penyampaian perkhidmatan lebih efektif dan berkualiti kepada masyarakat.
Perkara tersebut dinyatakan Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dalam amanat
beliau sempena Perhimpunan Bulanan KPN anjuran
Jabatan Pengurusan yang berlangsung di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Beberapa perkara telah ditekankan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan menerusi segala perancangan, pembangunan dan pelaksanaan di bawah Jabatan Pengurusan.
Demi memastikan setiap warga Sang Saka Biru berpengetahuan, berdaya saing dan kompeten menghadapi cabaran melalui pemerkasaan latihan, satu kolaborasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Program Sarjana Sains Sosial telah diperkasakan melalui pengoptimuman impak keberhasilan program dengan penambahan bilangan peserta setiap kohort dan tempoh pengajian disingkatkan.
“PDRM juga meneroka sinergi baharu bersama Universiti Malaya menerusi Program Sarjana Pengadilan Jenayah bermula Mac 2025 selama 18 bulan melibatkan seramai 30 peserta terdiri daripada 29 Pegawai Kanan PDRM dan seorang peserta dari Angkatan Tentera Malaysia,” tambah Tan Sri Razarudin.
Selain itu, PDRM juga komited dalam meningkatkan tahap akademik warga Pegawai Rendah Polis apabila 1,350 konstabel percubaan akan mengikuti Program Agensi Kelayakan Malaysia melalui Program Latihan Asas Kepolisan.
“Tenaga pengajar di Institusi Latihan PDRM juga diwajibkan memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan yang lebih tinggi sebagai anjakan paradigma bagi memastikan program latihan lebih efektif ke arah melahirkan pegawai polis yang proaktif dalam melaksanakan tugas dan kewajipan,” ujar beliau lagi.
Tambah Tan Sri Razarudin, Pasukan turut memberi peluang sama rata kepada setiap warganya yang berkelayakan menerusi proses pemangkuan pangkat dengan pelaksanaan penilaian e-Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT).
Turut dinyatakan tadi mengenai pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat dengan syarat tambahan iaitu Indeks Jisim Badan (BMI) selaras Arahan Ketua Polis Negara No. 202 Dasar Trim & Fit yang berkehendakkan BMI berada pada paras kurang dari 28.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan kesihatan serta keterampilan pegawai polis sekali gus melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Tan Sri Razarudin turut menyeru segenap warga PDRM agar memanfaatkan peluang memperluaskan ilmu dan kepakaran dalam undang-undang ke tahap profesionalisme yang lebih tinggi menerusi Asia International Security Summit and Expo (AISSE'25) yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Januari depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Dalam perhimpunan tadi, Tan Sri Razarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 36 warga PDRM sebagai simbolik pengiktirafan atas sumbangan dan komitmen cemerlang yang dipamerkan.
Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Abdul Aziz Abdul Majid, barisan Pengarah serta Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Bryanlie Mustin