Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

AISSE’25: KPN SAKSI MoU KERJASAMA BARZAN HOLDINGS DENGAN KOPERASI PDRM BERHAD

 
Kuala Lumpur, 21 Januari 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hadir sebagai saksi bagi sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Barzan Holdings dari negara Qatar dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad di Perdana Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam.

Sesi menandatangani MoU itu melibatkan Group Chief Executive Officer, Mr. Abdullah Hassan Al Khater yang mewakili Barzan Holdings bersama Setiausaha Koperasi PDRM Berhad, Tuan Mazelan Paijan sambil disaksikan oleh Tan Sri Razarudin selaku Yang Dipertua Koperasi PDRM Berhad dengan diapit Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam merangkap Pengerusi Koperasi PDRM Berhad, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim.

MoU tersebut adalah kerjasama oleh kedua-dua pihak yang akan memberi tumpuan kepada sektor pertahanan dan keselamatan. Ditambah dengan kemahiran yang dimiliki Barzan Holdings dalam melaksanakan projek-projek berteknologi aras tinggi, ia pastinya menarik minat Koperasi PDRM Berhad untuk menjalinkan hubungan strategik dalam tempoh masa bersesuaian.

Terdahulu, Tan Sri Razarudin menghadiri Ministerial Luncheon Talk yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan 1, sejurus selesai majlis peluncuran dan lawatan tapak pameran.

Sesi anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu antara lain bertujuan menyediakan platform kepada barisan menteri dan para delegasi terhormat untuk melibatkan diri dalam dialog berkaitan, mempromosikan kerjasama dan meningkatkan kesedaran kolektif tentang indeks keselamatan.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan kedudukan Malaysia yang berada di tangga ke-10 dalam Global Peace Index (GPI), sekali gus menjadi antara sepuluh negara paling selamat di dunia.

Tambahnya, kejayaan itu adalah bukti komitmen Kerajaan khususnya KDN dalam memastikan keselamatan rakyat dan kestabilan serantau sentiasa dijaga rapi.

Namun jelasnya, cabaran keselamatan yang kini semakin kompleks, termasuk ancaman siber, jenayah dalam talian dan perubahan iklim memerlukan kerjasama antarabangsa dan strategi adaptif untuk menangani ancaman baharu itu.

Dalam sesi sama, para tetamu turut mendengar ucapan daripada penceramah undangan iaitu Profesor Dr. Yarina Ahmad dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor yang memperkenalkan tentang Indeks Keselamatan Sempadan yang telah disusun oleh pakar-pakar di KDN dengan kerjasama UiTM.

Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman, barisan Timbalan KSU KDN, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KDN, barisan Pengarah PDRM, ketua-ketua polis negeri dan delegasi luar negara.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstable Muhammad Azri Sabri.

May be an image of 4 people and text

May be an image of 7 people and text

May be an image of 7 people and text

May be an image of 1 person, dais and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS