Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

AISSE’25: TIRAI PERSIDANGAN DAN EKSPO KESELAMATAN ANTARABANGSA ASIA 2025 DIBUKA SECARA RASMI HARI INI

Putrajaya, 20 Januari 2025 - Sejarah baharu tercipta apabila Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) yang julung kali diadakan, membuka tirainya secara rasmi hari ini selepas disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.

Ketibaan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid kira-kira jam 9 pagi turut diiringi Menteri Dalam Negeri (MDN), Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah dan Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain.

Hadir sama, Deputy Prime Minister and Minister of Interior Thailand, H.E Mr. Anutin Charnvirakul, Minister at the Prime Minister’s Office and Minister of Defence Brunei, Pehin Datu Lailaraja, Major General (Retired) Dato’ Paduka Seri Awang Hj. Halbi Hj. Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato’ Azmi Abu Kassim.

Majlis Peluncuran AISSE’25 dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dato’ Seri Saifuddin Nasution dan disusuli ucapan perasmian daripada Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid.

Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid menekankan kepentingan kerjasama serantau dan penggunaan teknologi moden untuk menangani jenayah siber dan ancaman rentas sempadan.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk bertindak secara kolektif dengan mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengawasan masa nyata yang seimbang dengan hak privasi individu.

AISSE’25 merupakan inisiatif KDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi peneraju bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam aspek keselamatan melalui perkongsian idea, teknologi dan kerjasama dalam membincangkan isu-isu keselamatan global oleh pakar serta pemimpin dari pelbagai negara.

Ia turut mendapat sokongan daripada penaja utama iaitu Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd serta Koperasi PDRM Berhad.

Bertemakan “Asia United: Charting The Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collabaration”, AISSE’25 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, 20 hingga 22 Januari nanti turut melibatkan lebih 300 organisasi keselamatan serta pemain industri dari 48 buah negara.

Seusai majlis, Tan Sri Razarudin mengiringi Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dan Dato’ Seri Saifuddin Nasution meneruskan tentatif dengan lawatan rasmi ke reruai pameran di Perdana Hall bagi menyaksikan teknologi keselamatan canggih daripada pemain industri terkemuka, antaranya syarikat terkenal seperti Advance Jupiter, Blackberry, CREST, Dataport Technologies, EC-Council, Eunomia Traffic, Gasmet Technologies (Asia) Ltd, Germonizer, Magnet Forensic dan SAMSUNG.

Pempamer tersebut mewakili pelbagai negara, termasuk Malaysia, Jepun, Hong Kong, Latvia, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Taiwan dan Australia.

Yang turut hadir, barisan menteri dan timbalan menteri, Pengarah-pengarah PDRM, para pegawai kanan kerajaan dan agensi swasta, perwakilan asing serta pengamal media.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid

May be an image of 11 people, dais and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS