Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Berita

TIMBALAN KPN HADIR MAJLIS AMANAT KETUA SETIAUSAHA NEGARA TAHUN 2025

Putrajaya, 20 Januari 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri majlis amanat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar untuk tahun ini di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.

Bertemakan “Reformasi: Satu Kemestian”, majlis dimulakan dengan tayangan montaj mengenai pelaksanaan agenda reformasi dalam perkhidmatan awam, agar ia kekal relevan dan sentiasa dipertingkatkan demi memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Dalam amanat yang disampaikan tadi, Tan Sri Shamsul Azri telah menfokuskan tiga perkara utama iaitu memantapkan pemboleh daya reformasi, memperkukuhkan nilai dan tatakelola serta mempertingkatkan sinergi strategik persekutuan-negeri dan antarabangsa.

Jelas beliau, fokus pertama pemboleh daya reformasi iaitu komunikasi “total” merupakan satu perkara kritikal dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan betul kepada rakyat, selain memastikan reformasi yang dibuat adalah berkesan, sebagaimana ditekankan dalam fokus kedua, iaitu memperkukuhkan nilai dan tatakelola yang perlu dicapai oleh setiap penjawat awam.

Tambah beliau lagi, perkara pokok menerusi fokus ketiga ialah penetapan sinergi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri bagi membolehkan setiap keputusan dibuat dapat melonjakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Turut berlangsung dalam majlis tadi ialah pelancaran dua dokumen penting iaitu Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025: Garis Panduan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan dalam Perkhidmatan Awam oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan Pekeliling Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Hadir sama, Peguam Negara Malaysia, Dato' Mohd Dusuki Mokhtar, Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, barisan ketua setiausaha kementerian, barisan setiausaha kerajaan negeri, para pegawai kanan kerajaan dan pengamal media.

Jurugambar: PDRM RMP TV

May be an image of 6 people and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS