Kuala Kangsar, 9 November 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail pagi tadi dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S.) yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri Panglima’ di Balairung Seri, Istana Iskandariah, di sini.
Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak itu diadakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Magfur-Lah.
Berangkat sama ke istiadat pagi tadi ialah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Pengurniaan darjah kebesaran S.P.T.S. yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri Panglima’ ini adalah kepada Pasukan Tentera yang berpangkat Leftenan Jeneral ke atas manakala kepada Pasukan Polis pula yang berpangkat Timbalan KPN ke atas.
Dalam istiadat yang sama, turut menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Shamsul Azri bin Abu Bakar telah mengetuai senarai penerima dengan pengurniaan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M.) yang membawa gelaran 'Dato' Seri'.
Turut menerima darjah kebesaran S.P.T.S. bersama-sama Dato’ Seri Panglima Hj. Mohd Khalid tadi ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj. Mohd Nizam Hj. Jaafar.
Manakala, Ketua Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Hishammudin Mohd Amin pula adalah antara enam penerima yang dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S.) yang membawa gelaran ‘Dato’ Pahlawan’.
Dalam istiadat yang berlangsung, DYMM Seri Paduka Tuanku turut berkenan mengurniakan kepada 20 penerima darjah kebesaran pada sesi pertama iaitu dua penerima bagi Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P.), seorang untuk Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M.) dan 17 penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.). Sesi kedua pula dijadualkan akan berlangsung pada 15 November depan.
Hadir sama, Ahli Kerabat Diraja Perak, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama isteri Datin Seri Aezer Zubin, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk Hjh. Munirah Che Rose, Ketua
Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisham Nordin bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP Kontinjen Perak, Datin Noormawati Abdul Latip.
Sumber gambar: Istana Perak Darul Ridzuan