Kuala Lumpur, 26 Ogos 2020 - Seorang pesara polis berpangkat sarjan dilanda kekesalan sehingga hari ini setiap kali mengenangkan tragedi diserang hendap oleh komunis hingga mengakibatkan dia kehilangan dua rakan baik dalam pertempuran sengit di Kroh, dekat Hulu Perak 52 tahun lalu.
Sarjan (Bersara) Shaari Che Mat, 78, berkata, dia begitu ralat kerana gagal membantu rakan-rakan, bukan kerana takut tetapi akibat tidak berpeluang membalas tembakan ketika berlindung daripada 'hujan' peluru komunis yang datang dari pelbagai arah.
Mengimbau semula kejadian itu, Shaari berkata, insiden berdarah pada pukul 5 petang 17 Jun 1968 di Kroh dekat Hulu Perak itu menyebabkan 16 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) terkorban, manakala 17 lagi parah.
"Ketika itu saya dan enam rakan daripada platun 11, Kompeni C iaitu pasukan Batalion Kedua PPH Ulu Kinta dalam perjalanan pulang ke kem di Betong, Thailand untuk mengambil bekalan di Sungai Petani, Kedah kerana risikan memaklumkan komunis akan menyerang.
"Kami kemudian bertemu dengan Batalion Pertama PPH di sebuah kem di Kroh sebelum bergerak secara konvoi dengan trak kami berada di belakang. Dalam perjalanan, mereka telah singgah di pekan Kroh, manakala kami meneruskan perjalanan.
"Ketika itu kami sudah berada di depan dan mereka menyusuri di belakang pula. Sebaik tiba di check point imigresen Thailand yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan Kroh, kami dikejutkan dengan bunyi tembakan sebaik melepasi check point itu," ceritanya.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Kosmo seperti berikut.
Sumber: Kosmo