Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: HENTI SEBAR MAKLUMAT TIDAK BENAR WARGA ASING DIBAHAM HARIMAU

Ipoh, 11 Februari 2022 - Tiada kejadian warga Bangladesh maut akibat dibaham harimau dekat perkampungan orang asli Pos Raya antara Simpang Pulai ke Cameron Highlands sepertimana ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Perak, CP Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat yang tersebar bersama sekeping gambar rangka manusia dalam keadaan mengerikan itu adalah palsu.

Menurutnya, siasatan polis mengesahkan tiada kejadian seumpama itu berlaku di negeri ini.

"Saya sahkan memang maklumat ini palsu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh tidak menerima apa-apa laporan mengenai kejadian itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, pada Khamis.

Beliau meminta semua pihak menghentikan penyebaran maklumat palsu itu bagi mengelak timbul kegusaran dan kebimbangan orang ramai.

Katanya, tindakan menyebarkan maklumat tanpa kesahihan pihak berkuasa bukan sahaja satu tindakan tidak bertanggungjawab, tetapi menyalahi undang-undang.

"Kita minta jangan siarkan maklumat sebegini atau mereka akan dikenakan tindakan undang-undang sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya.

Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Sinar Harian.

May be an image of 1 person and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS