Tumpat, 18 Februari 2022 - "Kami sudah biasa mendapat kecederaan ketika menjalankan tugas namun situasi kali ini sedikit tegang kerana membabitkan orang kurang siuman namun alhamdulillah, kami hanya alami kecederaan tidak parah," kata Inspektor Mohd Afifi Jamaludin.
Inspektor Mohd Afifi, 36, antara mangsa amuk pesakit mental yang juga di bawah pengaruh dadah pada malam Sabtu lalu di Kampung Sedar di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan seorang lelaki mengamuk menggunakan dua senjata iaitu parang dan pisau di sebuah rumah.
"Saya dan tiga rakan setugas ke lokasi dan melihat suspek berusia 42 tahun bersenjatakan parang serta pisau sedang mengamuk.
"Ketika mendekatinya seorang daripada kami dilibas di belakang kepala sebelum suspek lari masuk ke dalam bilik.
"Kami mengarahkan ahli keluarganya keluar sebelum memecahkan pintu bilik dan disebabkan bilik gelap, kami membuka lampu dan suspek menerjah ke arah kami sambil melibas senjata," katanya.
Inspektor Mohd Afifi berkata, dalam usaha menyelamatkan diri, mereka berempat bergelut dengan suspek dan menerima ‘habuan’ libasan serta cedera di bahagian tubuh.
Dalam kejadian tersebut, Inspektor Mohd Afifi luka di lengan kanan dan menerima 12 jahitan, Inspektor Chong Yeong Ren, 29, mendapat dua kesan libasan di belakang badan, Koperal Mohamad Firdaus Mohd Jamil, 33, luka sembilan sentimeter di belakang kepala manakala Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi Azmi, 31, luka di belakang tangan.