Kuala Lumpur, 21 Februari 2022 - "Tugas kami hanya membantu masyarakat yang memerlukan, namun tidak menyangka pula bantuan itu menjadi tular," kata Koperal Muhamad Subri Ahmad, 34.
Terdahulu, beliau bersama rakannya, Koperal Mohd Azmi Said memberi bantuan mengiringi sebuah kenderaan yang membawa seorang wanita mengandung ke Hospital Pusrawi, Kota Damansara, Selangor, kelmarin.
Kejadian itu sempat dirakam pengguna jalan raya, Ahmad Hafizuddin yang turut memberi bantuan awal melancarkan trafik sebelum dibantu oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV).
Menceritakan semula pengalaman itu, Koperal Muhammad Subri berkata, ketika kejadian jam 3.50 petang, dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Sungai Buloh selepas menyertai Operasi Tembakau bersama Jabatan Kesihatan Gombak di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh.
"Semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Stesen KTM Sungai Buloh, kami dihampiri orang awam menaiki motosikal yang memohon bantuan untuk mengiring sebuah Perodua Myvi yang membawa seorang wanita mengandung yang mahu bersalin.
"Kami terus memasang siren dan membuka laluan bagi kereta berkenaan melalui jalan itu tanpa sebarang halangan. Kami memberi bantuan itu sejauh kira-kira empat kilometer sebelum mereka tiba di hospital terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.
"Saya dan rakan menunggu di kawasan parkir hospital terbabit kira-kira 20 minit sebelum dimaklumkan wakil wanita berkenaan bahawa dia dan bayinya dalam keadaan baik.
"Wakil wanita itu juga mengucapkan terima kasih kepada kami kerana memberikan bantuan mengiring yang memudahkan perjalanan mereka ke hospital," katanya yang bertugas di Balai Polis Sungai Buloh.
Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk dalam situasi berkenaan.
"Apabila perkara ini tular dan mendapat pujian orang ramai, ia mencetuskan rasa lebih semangat untuk berkhidmat pada masyarakat meskipun kami tidak mengharapkan pujian daripada semua pihak," katanya.
Sumber: Harian Metro