Kangar, 4 Mac 2022 - Semasa kegiatan ceti haram atau ah long sering menjadi masalah umpama barah dalam masyarakat di beberapa negeri, Perlis bebas sepenuhnya daripada kegiatan itu.
Tinjauan yang bermula dari tiga pintu masuk ke Perlis iaitu di Sanglang, Jelempok dan UIu Pauh hingga ke pekan sempadan Padang Besar mendapati tidak kelihatan baik kain rentang mahupun apa-apa iklan ah long menawarkan perkhidmatan di mana-mana tempat.
Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Surina Saad berkata, berdasarkan statistik lima tahun lepas jumlah kes pinjaman tidak berlesen di negeri ini amat rendah, iaitu tiga kes pada tahun 2021 berbanding masing-masing enam kes pada 2020 dan 2019.
Malah katanya, pada tahun 2018 tiada langsung kes berkaitan ah long di Perlis dan hanya empat kes dikesan pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kejayaan polis kontinjen Perlis menyekat kegiatan peminjam tidak berlesen adalah hasil usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan secara bersama melibatkan semua jabatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta semua ketua polis daerah.
"Dalam usaha membendung kegiatan jenayah ini IPK Perlis mengguna tiga peringkat pencegahan iaitu ketegasan, kesedaran dan pemantuan," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.