Ipoh, 9 April 2022 - Seorang kelindan lori didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan bunuh serta menghina pegawai polis, Disember lalu.
Tertuduh yang berumur 36 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan niat menyebabkan kegentaran terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Tawas Permai, di sini, kira-kira jam 6.52 petang 19 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan perkataan kesat kepada pegawai polis berpangkat inspektor yang sedang menjalankan tugas bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 8.30 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan ugutan bunuh, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua, ia dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.