Sabak Bernam, 10 April 2022 - Cubaan seorang tekong laut untuk menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas mengutip bayaran RM142,200 daripada 79 orang migran dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Gelora berhampiran Kuala Sungai Besar di sini, pada Jumaat.
Komander Wilayah 1 PPM, ACP Shamsol Kassim berkata, selain tekong laut, empat pembantu tekong turut ditahan bersama semua PATI tersebut oleh Bot Ronda PSC 15 dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sekitar jam 10.30 malam.
Menurut ACP Shamsol, bertindak atas maklumat, polis berjaya memintas bot pom-pom yang dinaiki oleh migran Indonesia lebih kurang 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar sebelum mereka mendarat.
"Hasil soal siasat awal mendedahkan tekong dan ejen aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak sebulan lalu.
"Hasil soal siasat awal terhadap migran mendapati bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah enam juta rupiah (RM1,800) yang dibayar kepada ejen di Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kata ACP Shamsol lagi, kesemua migran yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 55 tahun dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.