Kuala Lumpur, 11 April 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan program kembali ke pusat latihan (back to training centre) untuk anggota dan pegawai bermasalah khususnya yang terbabit dalam isu integriti dan moral.
Program itu bertujuan memperkasa pegawai dan anggotanya bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam isu integriti selain untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada mereka. Selain itu, modul integriti juga kini dimasukkan sebagai salah satu mata pelajaran wajib kepada semua pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) dalam usaha membimbing anggota menjauhi rasuah. Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Zaini Jass, berkata modul atau pengisian utama bagi program terbabit atau dirujuk sebagai “Back To Training Center” adalah penerapan nilai murni untuk menjaga imej pasukan itu.
Katanya, latihan itu disusun bagi memastikan pegawai serta anggota PDRM yang bermasalah, diberikan bimbingan dan sokongan dalam meneruskan tugas mereka, sekali gus mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
"Dalam usaha memulihkan dan memperkukuhkan integriti warga PDRM yang bermasalah, Jabatan Pengurusan juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam merangka program pemantapan," katanya kepada Berita Harian.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.