Ipoh, 11 September 2023 - Seramai 512 Orang Asli memohon jawatan Konstabel Orang Asli YP1 Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun ini dan 40 calon berjaya dipilih bagi mengikuti latihan.
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Hjh. Sapiah Dato’ Mohd Nor berkata, daripada keseluruhan permohonan yang diterima, hanya 75 pemohon melepasi saringan awal dari segi akademik serta hadir dalam
eksesais temu duga yang bermula 19 Jun hingga 22 Jun lalu.
Katanya, JAKOA komited dalam mengurangkan kadar pengangguran masyarakat Orang Asli justeru pelbagai program dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan peluang kerjaya kepada golongan berkenaan.
“Seramai 3,000 belia Orang Asli sudah menerima manfaat daripada program-program yang dilaksanakan bermula 2022,” katanya ketika Majlis Perasmian Penutup Program Transformasi Minda Insan Calon Konstabel Orang Asli Gred YP1 Tahun 2023 di sini, kelmarin.
Program Transformasi Minda Insan Calon Konstabel Orang Asli adalah program dilaksanakan JAKOA sebagai persediaan kepada calon Konstabel Orang Asli sebelum menjalani latihan asas kepolisian selama enam bulan di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini bermula semalam.