Kuala Lumpur, 21 April 2024 - Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar melakar sejarah dalam perkhidmatan Sang Saka Biru sebagai individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara.
Allahyarham dilantik memegang jawatan KPN keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 menggantikan Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh ditembak komunis.
Tun
Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi semalam akibat sakit buah pinggang memegang jawatan KPN selama 20 tahun sebelum bersara pada Januari 1994.
Setahun selepas memegang jawatan sebagai KPN, Tun Mohammed Hanif mengasaskan unit antipengganas elit, Unit Tindakan Khas (kini Unit Tindakhas), pada 1 Januari 1975 serta mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dalam krisis tebusan bangunan AIA pada Ogos, tahun sama.
Selain itu, antara jasa beliau yang akan terus dikenang rakyat Malaysia ialah menamakan Balai Polis Bluff Road kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pada 25 Mac 1975.
Pada 8 Jun 1976, Tun Mohammed Hanif mengumumkan semua rekrut polis akan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) sebelum ditugaskan ke unit lain bagi memastikan semua anggota polis muda akan dapat menangani sebarang situasi kecemasan apabila mereka dilengkapi dengan latihan di dalam hutan.
Dilahirkan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan), Perak, Tun Mohammed Hanif mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese, kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Tun Mohammed Hanif meneruskan pengajian ke Universiti Malaya yang ketika itu bertempat di Singapura dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959, seterusnya menyambung dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Undang-undang dari University of Buckingham di London.
Ikuti kisah lanjut liku-liku kerjaya Allahyarham Tun Mohammed Hanif yang bermula sebagai Penolong Kadet Penguasa Polis sebelum memegang beberapa jawatan tinggi, serta jasa dan keringat yang dicurahkan beliau dalam Pasukan Polis demi menjaga keselamatan negara terutamanya melibatkan peristiwa penting negara.