Kuala Lumpur, 25 Mei 2024 - Guna kepakaran menghasilkan peluru senjata api buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar secara haram.
Itu antara kegiatan segelintir individu yang dikesan turut menyalahgunakan senapang dimiliki secara sah bagi tujuan memburu haiwan liar dilindungi.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penyalahgunaan senjata api untuk tujuan memburu hidupan liar diambil perhatian serius oleh pihaknya.
Beliau berkata, dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) disertai pasukan elit 69 Komando (VAT69) Polis Diraja Malaysia, pihaknya menyerbu sebuah kediaman di Kampung Lawar, Belimbing, Jeli, Kelantan sekitar jam 1 pagi, Ahad lalu.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 30-an dan 60-an yang berada di kediaman itu ditahan untuk pemeriksaan.
“Siasatan kemudian menemui daging hidupan liar disimpan di dalam plastik di kediaman itu. Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkannya menyimpan hidupan liar.
“Turut dirampas selaras senapang, tujuh butir peluru dan logam gabungan besi serta timah disyaki anak peluru buatan sendiri," katanya.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.