Kuala Lumpur, 2 Ogos 2024 - Empat penjenayah yang disyaki terbabit kes penculikan, terbunuh selepas berbalas tembak dengan polis dalam dua kejadian berasingan di Skudai, Johor, lewat malam tadi dan awal pagi ini.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kumpulan itu dipercayai terbabit kes penculikan dua individu bulan lalu membabitkan
pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin bernilai USD1.16 juta atau RM5.4 juta.
Beliau berkata, kes penculikan itu berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 11 Julai lalu membabitkan dua mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan.
"Dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki dua mangsa iaitu seorang lelaki warga China yang baharu tiba di Malaysia dan seorang wanita tempatan dipintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat lelaki di susur keluar selepas Plaza Tol MEX menghala Cyberjaya.
"Kedua-dua mangsa dibebaskan pada jam 6.30 petang 15 Julai lalu di tepi jalan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan. Ini selepas adik kepada mangsa warga China itu membayar wang tebusan kepada suspek," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.