Kuala Lumpur, 7 Ogos 2024 – Kepercayaan mitos kononnya corak tertentu pada cangkerang kura-kura boleh memberikan tuah dan kekayaan kepada pemiliknya.
Itu sebahagian punca pelbagai spesies kura-kura dilindungi berasal dari India, Bangladesh, Pakistan dan Afrika giat diseludup ke negara ini.
Terbaharu, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (
PERHILITAN) Semenanjung Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan reptilia itu membabitkan rampasan hampir RM1 juta, kelmarin.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi membenteras jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai pegawai Wildlife Crime Unit PERHILITAN, Celescoriano Razond turut disertai enam anggota Cawangan Risik Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Difahamkan risikan dilakukan sejak dua minggu lalu bagi mengesan serpihan geng penyeludupan spesies kura-kura dilindungi dan hampir pupus dari India serta benua Afrika.
“Dalam operasi jam 4.23 petang kelmarin, kami menyerbu sebuah rumah di Cheras, di sini.
“Seorang lelaki tempatan berusia 50-an diarah membuka pintu sebelum pihak berkuasa menemui empat lagi individu termasuk dua warga Kemboja.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di rumah itu menemui pelbagai hidupan liar dilindungi antaranya lima kura-kura Indian Star Tortoise, seekor kura-kura Pig Nosed Turtle, seekor kura-kura Sulcata dan seekor kura-kura Leopard Tortoise.
“Selain itu, PERHILITAN turut merampas gading gajah dan satu tengkorak buaya di premis sama.
“Pemilik rumah gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkan menyimpan hidupan liar berkenaan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta 716,” katanya.