Kuala Lumpur, 11 Ogos 2024 - Isu siasatan berkait penggunaan akaun keldai akan dapat diperkasakan susulan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi kes jenayah dalam talian atau "scam", adalah amat
sukar untuk mendapatkan keterangan bagi mendapatkan sabitan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana ketiadaan pengecaman oleh mangsa terhadap suspek yang berjaya ditangkap oleh pihak polis terutamanya keldai akaun bank.
Menurutnya, oleh yang demikian, sebelum ini ramai suspek keldai akaun diberi arahan tuduh oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut kesalahan umum seperti Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu melindungi harta dengan curang atau Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu gagal memberi keterangan terhadap sesuatu harta.
"Melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai 2024 lalu, isu siasatan berkait penggunaan akaun keldai ini akan dapat diperkasakan.
"Seterusnya, pada 22 Julai lalu, kedua-dua RUU ini dibentang dan diluluskan Dewan Negara. Alhamdulillah, perkembangan ini adalah satu langkah yang amat positif," katanya kepada Harian Metro.
Dato' Sri Ramli berkata, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara atas keputusan yang dicapai.