Petaling Jaya, 13 Ogos 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 541 kes culik dan melarikan orang dalam tempoh lima tahun sejak 2020 sehingga Julai lalu.
Daripada jumlah itu, jumlah kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 148 kes diikuti 2020 (119 kes), 2021 (104 kes), 2022 (91 kes) manakala Januari sehingga Julai lalu (79 kes).
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang dengan salah sebanyak 246 kes diikuti Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya sebanyak 251 kes.
Kata beliau, bagi seksyen kesalahan lain, Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 361 Kanun Keseksaan masing-masing merekodkan sebanyak 19 kes manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan (enam kes).
“Kes culik atau melarikan orang di negara ini tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Bagaimanapun pihak PDRM sentiasa memantau secara khusus jenayah melibatkan cuIik.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan segera sebarang kejadian culik mahupun orang hilang agar pihak polis dapat mengambii tindakan segera. Malah ingin diingatkan orang ramai atau ahli keluarga jangan sesekali mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan kes penculikan terutamanya yang melibatkan wang tebusan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Utusan Malaysia seperti di lampiran.