Petaling Jaya, 13 November 2024 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan penggunaan dron dengan berteknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memantau kawasan sempadan daripada sebarang aktiviti jenayah dan pencerobohan.
Keperluan itu selaras dengan trend jenayah penyeludupan yang semakin meningkat selain dilihat dapat membantu pihak berkuasa memantau keselamatan sempadan secara
berterusan.
Pemangku Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, bentuk muka bumi Malaysia berbukit menjadi satu cabaran kepada pihak berkuasa bagi pemantauan sempadan negara terutama dengan kekuatan sumber manusia yang terhad.
Selain itu, katanya, jumlah aset-aset yang dibekalkan kepada
Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah terhad dan tidak dapat menampung pemantauan serta pengawasan secara menyeluruh dan berterusan di kawasan sempadan.
Justeru, katanya, pelaksanaan sistem atau aset berteknologi AI bagi kawalan sempadan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi.
“PGA mencadangkan supaya penggunaan teknologi AI dan dron dalam sistem kawalan sempadan hendaklah dibuat secara menyeluruh dan komprehensif yang mana ia boleh diguna pakai oleh semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan seterusnya dapat menjimatkan kos bagi membangunkan sistem ini secara guna sama antara agensi.
"AI dilihat dapat mengintegrasikan pelbagai sistem pemantauan dan kawalan, selain dapat menjadikan operasi lebih efisien. Ketika ini, penggunaan dron dan aset berteknologi AI masih berada di tahap yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.