Johor Bahru, 13 November 2024 - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu termasuk dalang berusia 33 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM28 juta, iaitu rampasan terbesar di Johor tahun ini.
Kejadian itu hasil tiga serbuan di Iskandar Puteri, dekat sini dan Kluang, minggu lalu.
Sindiket itu bukan sahaja membungkus semula dadah, malah turut memprosesnya menjadi jus sebelum dimasukkan ke dalam paket minuman tertera jenama yang biasa ditemui di pasaran.
Ketua
Polis Johor, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata dalam operasi antara jam 8 malam, 3 November lalu hingga jam 11 pagi, 4 November lalu, pihaknya menyerbu tiga rumah yang dijadikan stor pemprosesan dadah.
Beliau berkata, dalam ketiga-tiga serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 158,844.8 gram (g) atau 7,358 paket serbuk disyaki Ekstasi, 7,098g atau 21,510 biji pil disyaki Ekstasi, 3,000g atau 11,500 biji pil disyaki Erimin 5 dan 6,110g atau 24 paket disyaki Ketamin.
“Nilai keseluruhan semua dadah itu dianggarkan lebih RM28.31 juta. Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 857,784 orang penagih.
Ini adalah sindiket dengan rampasan dadah terbesar untuk tahun ini setakat ini.
“Kita turut merampas peralatan memproses dan pembungkusan semula dadah, selain menyita empat kereta, wang tunai RM12,200, pelbagai jenis barang kemas, pelbagai mata wang asing dianggar bernilai RM2,961 yang mana jumlah rampasan dadah dan sitaan mencecah lebih RM28.58 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan
Berita Harian seperti di lampiran.