Kuala Lumpur, 17 Januari 2025 - Anggota polis perlu memenuhi syarat indeks jisim badan (BMI) kurang 28 untuk peluang kenaikan pangkat, kata Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, syarat BMI itu antara kriteria yang ditambah bagi memastikan proses kenaikan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih ketat.
"Inisiatif ini penting bagi memastikan kesihatan serta keterampilan pegawai polis, sekali gus melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan PDRM, di sini, semalam.
Beliau yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 36 warga PDRM daripada pelbagai jabatan pada majlis itu berkata, PDRM juga memperkasakan proses kenaikan pangkat agar lebih telus, adil dan memberi peluang sama rata kepada setiap anggota yang layak.
Tan Sri Razarudin memberi contoh, pemangkuan pangkat dalam PDRM dipertingkatkan menerusi pelaksanaan penilaian e-kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian bermula tahun ini.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Berita Harian seperti di lampiran.