Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador



Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur. Beliau membesar di Rembau, Negeri Sembilan dan mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin serta mempunyai kelulusan dalam Diploma Sains Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah berkhidmat selama 39 tahun di dalam PDRM, bermula pada 4 November 1979, sebagai seorang Inspektor Pelatih.

Sepanjang perkhidmatan beliau, antara jawatan penting yang disandang oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador adalah Ketua Cawangan Khas Daerah dan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak (1997 hingga 2002), Ketua Cawangan Khas Kelantan (2005), Ketua Cawangan Khas Sabah (2006), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (2009) dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I (2010). Pada 23 Mei 2018, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas dan seterusnya, diberi kepercayaan untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara mulai 15 Mac 2019, ekoran persaraan Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid bin Ibrahim. Tanggal 3 Mei 2019, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang Ke-12.

Beliau telah dikurniakan Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada tahun 1998, Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) pada tahun 2007 dan Pingat Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (D.P.N.S) pada tahun 2013. Pada bulan Januari 2019, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador dikurniakan Pingat Seri Setia Negeri Sembilan yang Amat Cemerlang (S.S.N.S).

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid bin Bador mendirikan rumahtangga dengan YBhg. Puan Sri Datin Seri Norazrin binti Marzuki dan mempunyai dua orang cahaya mata.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS