| Kuala
Lumpur, 24 Mac - Penubuhan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik
(Sting) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam
membanteras jenayah sehingga ke akar umbi pada awal tahun ini, dilihat
memberi impak besar. Timbalan
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata beberapa siri
kejayaan Sting dan Stafoc dalam pembongkaran jenayah di seluruh negara,
menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membanteras jenayah
didalangi sindiket yang bergerak aktif di seluruh negara. "Kewujudan
Sting dan Stafoc beri impak besar kepada PDRM, pasukan ini umpama
Kumpulan Elit atau Skuad yang menerima latihan dan kepakaran tertentu,
yang memfokuskan kepada sindiket-sindiket yang bergerak licik untuk kita
cantas mereka sehingga akar umbi. "Stafoc
misalnya, kumpulan ini akan melaksanakan sesuatu misi bagi memastikan
ia dapat selesaikan sesuatu kes secepat mungkin," katanya kepada
pemberita di Bukit Aman di sini, baru-baru ini sempena Hari Polis ke-207
yang disambut pada 25 Mac. Beliau
berkata begitu juga Sting, yang mana kumpulan ini akan membongkar
sehingga ke akar umbi sindiket yang bergerak licik dalam pengedaran
dadah di negara ini. Stafoc berkuat kuasa 1 Jan lepas, ditubuhkan bagi
menangani dan menguruskan kes-kes jenayah berat, gengsterisme,
perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia. Sting
pula dilancarkan pada 30 Jan lepas berperanan mengenalpasti 'kawasan
hitam' pengedaran dadah termasuk melibatkan kongsi gelap serta operasi
menyekat kemasukan dadah di lapangan terbang, laluan darat dan laut. Mengulas
mengenai cabaran dihadapi PDRM ketika ini, Mohd Bakri berkata jenayah
siber antara yang menjadi fokus utama pasukan keselamatan itu. "Kita
lihat dari sudut jenayah siber, keperluan untuk tingkatkan kekuatan
kita untuk menjalankan tugas...dapatkan kepakaran tertentu supaya kita
dapat bawa kes sedemikian ke mahkamah. Ini penting bagi kami," katanya. Katanya
bagi memenuhi keperluan itu, pakar dalam bidang tertentu dari luar
negara mengajar pegawai polis di negara ini atau pegawai polis di sini
dihantar berkursus di luar negara bagi mempelajari bidang tertentu
termasuk aspek siasatan berkaitan jenayah siber. Menyentuh
mengenai kerjasama PDRM dengan persatuan berkaitan bagi memantapkan
lagi pasukan itu, Mohd Bakri berkata PDRM menjalin kerjasama dengan
pelbagai pihak, misalnya dengan Majlis Profesor Negara (MPN). "MPN
contohnya, kerjasama ini bertujuan bagi PDRM mendapatkan pandangan
tentang keselamatan negara, berkongsi input atau idea dengan anggota
majlis itu bagi mempertingkat tahap keselamatan negara. Kita setuju
untuk berkolaborasi, tubuhkan kumpulan kerja untuk membincangkan aspek
keselamatan dan kepolisan. Mohd Bakri berkata pihaknya juga berharap agar dapat tingkatkan kolaborasi dengan agensi lain di dalam Kementerian Dalam Negeri. Sementara
itu, ditanya mengenai perancangan PDRM pada masa akan datang, beliau
berkata pihaknya merancang untuk mengadakan program yang dapat
mendekatkan pasukan itu dengan belia di negara ini. "Kita
akan cuba cari jalan untuk dekati masyarakat terutama golongan belia,
kita beri mereka peluang untuk berinteraksi, meluahkan pendapat atau
pandangan dan dalam masa sama kita akan beri penerangan kepada mereka
tentang PDRM. Mengenai sambutan hari Polis ke-207 esok, beliau berkata ia bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami'. Pelbagai
aktiviti dirancang sempena sambutan itu, antaranya acara perbarisan
yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di
Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini pada 8 pagi. Pada
sambutan itu juga akan diadakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa
Pahlawan Negara (PJPN) kepada pejuang polis era persekutuan Tanah Melayu
iaitu dalam tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960. Sumber : BERNAMA |