Shah Alam 22 Dis. - Seorang bekas pembantu rumah warga Thailand dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah hampir tiga kilogram, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan Dhuangchit Khonthokhonburi, 33, tidak konsisten, lebih kepada penafian dan rekaan semata-mata.
Sepanjang perbicaraan, seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala tertuduh merupakan saksi tunggal di peringkat bela diri.
Khonthokhonburi didakwa atas tuduhan mengedar 2.8 kilogram dadah jenis methamphetamine kira-kira pukul 9 pagi, 6 Mac 2013 di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia