Menu

DVD VCD BERNILAI HAMPIR RM500,000 DIRAMPAS

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki dan merampas lebih 60,000 keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak termasuk lucah bernilai hampir RM500,000 dalam serbuan Op Ostrich di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan 19D/SS23, Taman Sea, Petaling Jaya di sini hari ini. 

Rumah sewa berkenaan dijadikan gudang pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran kesemua barangan cetak rompak tersebut. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Noordin Ismail berkata, ketika serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, terdapat seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai penjaga rumah berkenaan. 

"Kita difahamkan tempat penyimpanan ini baru sahaja beroperasi selama lebih kurang dua bulan dan peniaga DVD dan VCD akan ke premis ini bagi mengambil barangan yang telah ditempah " katanya pada sidang akhbar di lokasi berkenaan di sini hari ini. 

Menurut Ahmad Noordin, siasatan awal pihaknya percaya DVD dan VCD cetak rompak tersebut adalah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002," katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS