Kuala Lumpur, 10 Disember 2017 - Tiga Ketua Polis Negara masing-masing dari Indonesia, Singapura dan Thailand adalah antara 601 penerima pingat dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis Tahun 2017 di Istana Negara Jalan Duta, dekat sini, pagi tadi.
Mereka adalah Kepala Polisi Republik Indonesia (KAPOLRI), General Polisi Professor Drs. H.M Tito Karnavian, Commisioner Police of Singapore Police Force, Commisioner Hong Wee Teck dan Commisioner General of Royal Thai Police, Police General Chaktip Chaijinda.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyempurnakan majlis penganugerahan itu di Balairong Seri, Istana Negara bermula jam 10.00 pagi.
Selain ketiga-tiga Ketua Polis Negara luar itu, turut menerima Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP) adalah enam Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka adalah Pengarah Cawangan Khas, Dato’ Sri' Mohd. Mokhtar Mohd Shariff, Pengarah Pengurusan, Dato’ Sri Abdul Ghafar Rajab, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Dato’ Tajudin Md Isa, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Dato’ Sri Abdul Rahim Haji Hanafi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Dato’ Amar Singh Ishar Singh.
Selain itu, seramai 277 Pegawai Polis menerima Pingat Setia Pasukan Polis (PSPP) termasuk dua bekas pegawai tertinggi Royal Thai Police dan 310 Pegawai Polis dianugerahkan Pingat Bentara Pasukan Polis (BPP).
Antara tetamu kehormat yang turut hadir dalam istiadat tersebut adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato' Sri Zulkifli Abdullah dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.
Terdahulu, kesemua Ketua Polis Negara luar yang tiba di tanah air bagi menghadiri istiadat tersebut telah diraikan dalam satu Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam majlis tersebut, Tan Sri Mohamad Fuzi turut bertukar-tukar momento bersama rakan-rakan sejawatannya dari Indonesia, Singapura dan Thailand sebagai tanda persahabatan yang erat di antara pihak berkuasa negara yang berjiran di rantau Asia Tenggara itu.
Kesemua delegasi luar dijangka pulang ke tanah air masing-masing esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar kenangan bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebelum berangkat ke Balairung Seri.

Barisan pucuk pimpinan PDRM bergambar kenangan bersama Yang di-Pertuan Agong
Sultan Muhammad V

Antara barisan Pengarah PDRM yang menerima Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menerima cenderahati daripada Commisioner General of Royal Thai Police, Police General Chaktip Chaijinda.
Sekitar Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis tahun 2017.