Miri, 12 April 2018 - Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berjaya menahan 53 orang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi beberapa serbuan Op Khas di negeri ini sejak Ahad lalu sehingga semalam.
Ketua JSJN negeri, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, operasi khas tersebut dijalankan di Bintulu, Samalaju, Miri dan Marudi.
Katanya, kesemua serbuan termasuk membabitkan tangkapan terhadap dua pengedar dadah itu dibuat berdasarkan maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan.
“Seorang pengawal keselamatan di kem pembalakan berusia 49 tahun dipercayai pengedar dadah sejak awal tahun lalu, ditahan dalam sebuah kenderaan di kuarters di kem pembalakan di Marudi kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Pemeriksaan di papan pemuka kenderaan menemukan 16 keratan tiub straw mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.3 gram dalam bekas besi hitam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam bilik tidur suspek menemukan bekas plastik warna putih mengandungi 21 peket plastik lutsinar yang di dalamnya terdapat ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 34.15 gram.
Katanta, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM9,000.
Tambahnya, suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. - UTUSAN ONLINE