Menu

PRU KE-14: TUJUH LOKASI PANAS DIKENAL PASTI DI MELAKA


Melaka, 12 April 2018 - Polis Melaka telah mengenal pasti tujuh lokasi panas di seluruh negeri ini yang dijangka akan menimbulkan kekecohan sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, hasil risikan, pihaknya turut mengesan beberapa individu termasuk yang pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan tersenarai dalam 1,131 individu di seluruh negara yang berpotensi mencetuskan provokasi sepanjang tempoh PRU14 berlangsung.

"Bagaimanapun, polis sentiasa memantau rapi dan meningkatkan kawalan keselamatan bagi lokasi berisiko melibatkan tiga daerah negeri ini dalam usaha mengelakan sebarang kejadian tidak diingini lebih-lebih lagi pada hari penamaan calon yang dijadual pada 28 April.

"Kami juga akan menempatkan dua per tiga pegawai dan anggota daripada 2,800 polis seluruh negeri manakala selebihnya akan menjalankan kerja-kerja hakiki selain turut dibantu 500 anggota dari Pusat Latihan Polis Bakri, Muar dan Pusat Latihan Polis Segamat, Johor bagi memastikan PRU14 berjalan dengan selamat dan terkawal," katanya kepada pemberita pada sambutan Ulang Tahun Kor Kadet Polis ke-48 peringkat negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru semua parti politik yang akan bertanding pada PRU14 agar mematuhi segala peraturan dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan dalam usaha memastikan kelancaran PRU14 serta keselamatan pengundi.

"Kami berharap agar pemasangan bendera dan poster dapat dilakukan secara berhemah tanpa menghalang lampu isyarat dan papan tanda sehingga boleh mengganggu lalu lintas dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

"Justeru, polis mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memastikan keselamatan masyarakat sekali gus memastikan PRU14 berlangsung dengan aman dan tenteram," katanya.

Abdul Jalil berkata, orang ramai tidak perlu berasa khuatir bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam menentukan tampuk pemerintahan negara.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2 Mac 1970, seramai 117,246 pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri itu menyertai Pasukan Kor Kadet Polis sehingga 31 Jan lepas.

"Kor Kadet Polis turut memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kepada pihak pentadbir sekolah dan Polis Diraja Malaysia yang secara tidak langsung dapat membantu mencegah perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.

"Walaupun kuasa tersebut terhad kepada laporan kegiatan jenayah, namun ia mampu memberi impak dalam memupuk sikap tanggungjawab dan pendedahan kepada pelajar dari segi aspek pencegahan awal," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS