Putrajaya, 29 April 2019 – Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bangunan Perdana Putra, dekat sini, pagi tadi.
Pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu diadakan berikutan Tan Sri Mohamad Fuzi yang akan bersara wajib pada 4 Mei ini.
Di kesempatan itu, Tan Sri Mohamad Fuzi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama hampir satu tahun tujuh bulan.
Beliau turut berkata, pertemuan itu juga bertujuan membincangkan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan PDRM selain berkongsi pandangan berhubung soal keselamatan negara kini.
Kunjungan tadi turut dihadiri oleh Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), DCP Datuk Mazli Mazlan, Ketua Urus Setia KPN, DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan pegawai kanan PDRM.