Kuala Lumpur, 9 Oktober 2019 - Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador mengadakan lawatan kerja rasmi sulung beliau ke Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) bertempat di Bangunan Koperasi Polis, Jalan Sulaiman, di sini, sebentar tadi.
Tan Sri Abdul Hamid merangkap Yang Dipertua KPDRM telah disambut mesra oleh Pengerusi KPDRM, Dato’ Seri Ayub Yaakob bersama barisan kepimpinan KPDRM dan Subsidiari sebelum dibawa melawat ke Pusat Khidmat Kaunter KPDRM serta kaunter KOP Travel & Tours Sdn. Bhd.
Delegasi kemudiannya diperdengarkan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPDRM, Encik Aminuddin Haji Amenon dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOP Mantap Berhad, Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik mengenai perkembangan semasa KPDRM dan produk-produk terkini yang ditawarkan kepada warga PDRM.
Berucap dalam lawatan tersebut, Tan Sri Abdul Hamid menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada anggota lembaga koperasi, pihak pengurusan dan seluruh warga KPDRM di atas segala usaha serta inisiatif yang dilaksanakan sehingga berjaya menjadi salah sebuah koperasi yang berprofil tinggi di negara ini.
“KPDRM berjaya menduduki tangga ke-7 dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia dan kedudukan ke-5 Profil Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan pada tahun 2018,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, KPDRM juga perlu menyediakan lebih banyak saluran kebajikan terutamanya dalam membantu meringankan bebanan anggota sekiranya mereka ditimpa musibah serta karenah birokrasi diminimumkan bagi mempercepatkan proses bantuan.
Turut berlangsung, penyampaian Watikah Perlantikan kepada Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi KPDRM manakala Pengarah KOP Mantap Berhad disandang oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, CP Dato' Sri Rosli Ab Rahman.
Sesi tersebut juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli Lembaga KPDRM dan Lembaga Pengarah KOP Mantap Berhad yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), DCP Dato’ Nerita Yaacob.
Antara tetamu yang hadir ialah barisan anggota Lembaga KPDRM, kepimpinan KPDRM dan Subsidiari serta pegawai kanan PDRM.
Sekitar Lawatan Rasmi Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador ke Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM).
Sekitar Lawatan Rasmi Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador ke Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM).
Sekitar Lawatan Rasmi Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador ke Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM).
Ucapan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador sempena lawatan beliau ke Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM).
Bergambar kenangan.