Kuala Lumpur, 17 Mac 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan bercemar duli menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan Solat Jumaat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216, di Masjid Bukit Aman, di sini, tengah hari tadi.
Keberangkatan tiba Baginda pada 12.45 tengah hari disambut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar bersama Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani.
Majlis dimulakan dengan bacaan yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Timbalan Pengarah (Bahagian Agama & Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Ghazali Hj. Daud, merangkap Imam Besar Masjid Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Ghazali Hj. Daud sebelum menyampaikan khutbah solat Jumaat bertajuk “Ramadhan Dinanti, Keamanan Dinikmati”.
Antara inti pati khutbah yang disampaikan telah menyentuh aspek keamanan dan keselamatan sesebuah negara yang bergantung kepada kerjasama erat antara rakyat dan pihak berkuasa. Sebagai agensi penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab dan diberikan mandat dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan penjenayah, menangkap dan mendakwa pesalah, serta mengumpul risikan keselamatan. Ia sememangnya bertepatan dengan prinsip Maqasid al-Syariah yang memelihara nyawa, agama, akal, keturunan dan harta.
Majlis yang diadakan merupakan simbolik tanda kesyukuran seluruh warga Sang Saka Biru agar kekal relevan sebagai agensi penguat kuasa utama negara untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Seusai solat Jumaat Yang di-Pertuan Agong berkesempatan beramah mesra bersama jemaah dan warga kerja Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang hadir sebelum berangkat pulang.
Hadir sama, Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain, barisan Pengarah PDRM, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Azmi Abu Kassim dan masyarakat setempat.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.



