Menu

[UPDATE] ARTIKEL PILIHAN: SINDIKET PELABURAN MBI CUBA WUJUD EKOSISTEM SENDIRI

Kuala Lumpur, 25 April 2025 - Skim pelaburan Ponzi yang dinamakan pelaburan MBI dikesan mewujudkan ekosistem baharu menggunakan konsep melabur bersama mereka dan mendapat mata ganjaran.

Mata ganjaran itu dikatakan boleh digunakan bagi mendapatkan barangan lain seperti peralatan elektrik, menukar tayar kereta termasuk menggunakan perkhidmatan disediakan sindiket.

Taktik itu digunakan bagi mengaburi mata pelabur supaya mereka dilihat menjalankan pelaburan sah namun di sebaliknya melakukan penggubahan wang haram hasil pelaburan diterima.

Malah seramai 11 juta mangsa dari negara jiran setakat ini tertipu dengan melakukan pelaburan selepas yakin dengan perniagaan dijalankan sindiket.

Kegiatan itu terbongkar menerusi operasi Northern Star yang dijalankan dalam dua siri sejak 21 Mac hingga 21 April lalu dengan penahanan 13 individu berusia 32 hingga 67 tahun termasuk ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, CP Dato' Muhammed Hasbullah Ali, berkata, hasil siasatan mendapati sindiket cuba mewujudkan ekosistem dalam kelompok mereka.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka yang melabur akan diberi sejumlah mata ganjaran di mana ia boleh ditebus semula dengan barangan.

"Pelabur akan mengumpul point itu (mata ganjaran) dan apabila cukup mereka boleh tebus sama ada untuk menukar tayar kereta atau membeli barangan elektrik tetapi kedai dan premis terbabit milik syarikat pelaburan itu.

"Taktik itu digunakan bagi meyakinkan pelabur dan ingin menampakkan pelaburan mereka relevan dan orang ramai akan terus melabur," katanya kepada Harian Metro.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut,
Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS